PETALING JAYA: Pemain warisan negara, Facundo Garces membuktikan dirinya mempunyai ‘saham’ yang tinggi apabila berjaya menarik minat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).
Laporan media Sepanyol mendedahkan, pertahanan Deportivo Alaves di La Liga itu mendapat tawaran bernilai 10 juta euro (RM49.24 juta) daripada kelab Liga Perdana.
Bagaimanapun, tawaran berkenaan ditolak oleh Alaves pada saat terakhir perpindahan musim panas pada 1 September lalu kerana tidak mahu kehilangan pertahanan kental itu.
Alasan utama Alaves menolak tawaran itu ialah kerana Garces masih diperlukan bagi memperkukuh cabaran pasukan menghadapi musim sengit di La Liga.
Keputusan Alaves itu mencetuskan pelbagai reaksi dengan peminat Alaves menyifatkan langkah tersebut bijak demi kestabilan pasukan yang kini sedang berjuang di La Liga.
Bagaimanapun, sebahagian peminat tempatan kecewa kerana peluang menyaksikan Garces beraksi di pentas EPL seakan tertangguh.
Apa pun, minat daripada kelab gergasi EPL itu dilihat sebagai pengiktirafan besar terhadap kualiti pemain warisan yang dengan Garces kini dianggap simbol kejayaan generasi baharu bola sepak negara.
EPL adalah destinasi idaman setiap pemain bola sepak profesional yang bukan sahaja medan persaingan paling sengit, malah menawarkan pentas global untuk melonjakkan nama seseorang pemain.-UTUSAN