PETALING JAYA: Leong Jun Hao membuktikan dia selayaknya menggalas gelaran sebagai pemain perseorangan lelaki No. 1 Malaysia, selepas mengetepikan cabaran rakan seperjuangan, Lee Zii jia pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2025 di Hong Kong, hari ini.
Anak jati Kuala Lumpur yang kini menghuni ranking No. 28 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas Zii Jia 21-16, 21-16 dalam masa 40 minit di Hong Kong Coliseum.
Kejayaan itu juga merupakan kemenangan sulung Jun Hao ke atas Zii Jia selepas dia tumpas dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Pada pusingan kedua, esok, Jun Hao, 26, bakal berdepan satu lagi pertembungan membabitkan rakan sepelatih iaitu Justin Hoh bagi mencari tempat ke suku akhir.
Justin yang kini berada di ranking ke-39 dunia mencipta kejutan ke atas pemain No. 13 dunia, Toma Junior Popov dari Perancis selepas menang 21-12, 21-17 dalam satu lagi perlawanan peringkat 32 terbaik.
Apa yang menarik untuk diulas mengenai pertemuan, esok ialah rekod pertemuan antara kedua-dua pemain berpihak kepada Justin 2-0.
Dalam dua perlawanan yang berlangsung pada 2023 di India (Kejohanan Antarabangsa Syed Modi) dan 2022 di tanah air (Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia) berpihak kepada pemain berusia 21 tahun itu menerusi kemenangan straight set ke atas Jun Hao. – UTUSAN