Harimau Malaya hilang khidmat Garces dan Cools

Harimau Malaya hilang khidmat Garces dan Cools

COOLS meminta pelepasan untuk bersama pasukan Cerezo Osaka dalam saingan Liga 1 Jepun menentang Avispa Fukuoka pada 13 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya bakal turun tanpa dua tonggak utama, Facundo Garces dan Dion Cools ketika menentang Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa, Isnin ini.

Kedua-dua pemain itu terpaksa dilepaskan lebih awal selepas membantu skuad negara menewaskan Singapura 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Garces akan kembali ke Sepanyol untuk tugasan bersama kelabnya, Deportivo Alaves dalam saingan La Liga menentang Athletic Bilbao pada 14 September ini.

Sementara itu, Cools juga akan pulang ke Jepun untuk bersama pasukan Cerezo Osaka dalam saingan Liga 1 Jepun menentang Avispa Fukuoka pada 13 September ini.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski bagaimanapun menegaskan, ketiadaan mereka tidak harus dilihat sebagai krisis kerana ia membuka peluang buat pemain lain tampil mengisi kekosongan.

“Ya, pelepasan Garces dan Cools memang sebahagian daripada perancangan kami. Mereka perlu kembali ke kelab masing-masing.

“Fokus kami kini ialah mengekalkan keseimbangan kecergasan dan identiti pasukan dalam pertemuan dengan Palestin, sebagai persediaan menghadapi jadual penting Oktober nanti.

“Buat masa ini, kami tidak bercadang memanggil pemain baharu, sebaliknya kami akan menggunakan pemain sedia ada dalam skuad sekarang,” katanya.

Mengulas kejayaan menewaskan Singapura, Cklamovski menyifatkan ia sebagai suntikan semangat besar, namun menegaskan masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

“Pemain bekerja keras, kita hormati lawan, tetapi sepatutnya kita boleh menjaringkan lebih banyak gol. Apa pun kemenangan ini amat positif untuk pasukan terus berkembang,” katanya.

Kemenangan hasil jaringan Stuart Wilkin dan Joao Figueredo ke atas Singapura itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya di bawah kendalian Cklamovski.

Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Palestin dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Isnin ini.

Dua aksi persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN