PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli memerlukan tajaan hampir RM4 juta semusim bagi merealisasikan impiannya beraksi dalam kelas Moto3, Kejuaraan Motosikal Dunia, bermula musim depan.
Anak jati Terengganu itu telahpun membuktikan dirinya layak beraksi dalam kejuaraan dunia, selepas melengkapkan saingan di kedudukan ketiga pada Piala RedBull MotoGP Rookies bagi musim 2025.
Menamatkan perlumbaan dalam kelompok tiga terbaik merupakan syarat yang diletakkan kepada anak muda berusia 18 tahun itu dan pencapaian tersebut tidak dicapai dengan mudah kerana dia perlu bersaing dengan 25 pelumba handalan dari lebih 15 buah negara.
Pencapaian itu juga belum pernah dilakukan mana-mana pelumba Malaysia pada kejohanan yang diperkenalkan buat kali pertama pada 2007 oleh pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports dengan kerjasama Red Bull dan KTM.
Justeru, untuk menilai dari segi merit, Hakim Danish sememangnya telah memenuhi syarat-syarat tersebut dan bagi syarikat-syarikat korporat di luar sana, sumbangan anda bukanlah secara percuma tanpa sebarang balasan.
Hakim Danish bakal membawa jenama syarikat-syarikat penaja menerusi label yang dilekatkan pada sut pelumba, helmet ataupun jentera dan sebanyak 22 pusingan akan dilaksanakan dalam setiap perlumbaan kejuaraan dunia membabitkan 19 buah negara.
Ia merupakan satu platform terbaik bagi mempromosi sebarang jenama atau produk di peringkat antarabangsa seperti mana yang pernah dilakukan oleh mentor Hakim Danish, Zulfahmi Khairuddin melalui Air Asia pada awal karier Moto3nya.-UTUSAN