PETALING JAYA: Tindakan tergesa-gesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan menimbulkan tanda tanya.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan sama ada terdapat entiti luar yang terlibat dalam keputusan FIFA kerana FAM sudah mengikuti setiap proses dan menjalinkan kerjasama dengan badan induk itu dan kerajaan.
“FIFA pun dah approve (luluskan) sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar now (sekarang)? Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?.
“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi, FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain (secara umum di laman sosial) walaupun proses rayuan belum selesai.
“Who was in New York? (Siapakah yang berada di New York),” kata Tunku Mahkota Ismail di media sosialnya, semalam.
Tunku Mahkota Ismail juga berharap FAM segera melakukan rayuan dan melawan keputusan badan induk bola sepak antarabangsa itu selepas turut berkongsi surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara. Takkan kita takut dan nak tunduk dgn individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya. Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” kata Tunku Mahkota Ismail.
FAM dalam kenyataan berasingan mengesahkan bakal menghantar rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada untuk memulihkan semula ‘maruah’ skuad Harimau Malaya.-UTUSAN