Brazil, Argentina tewas mengejut

Brazil, Argentina tewas mengejut

Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Carlo Ancelotti jatuh ke tangga kelima carta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EL ALTO: Bolivia mengejutkan Brazil 1-0 bagi mengesahkan tempat ke playoff antara benua kelayakan Piala Dunia 2026, manakala Argentina pula tewas 0-1 kepada Ecuador pada aksi terakhir pusingan kelayakan zon Amerika Selatan, semalam.

Jaringan Miguel Terceros menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan berharga di La Paz ke atas juara lima kali dunia, Brazil.

Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Carlo Ancelotti jatuh ke tangga kelima carta.

Bolivia kini akan bersaing di playoff bersama dua wakil dari CONCACAF serta masing-masing satu pasukan dari Afrika, Asia dan Oceania bagi memburu dua slot terakhir ke Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).

Aksi playoff dijadual berlangsung di Monterrey dan Guadalajara pada Mac tahun depan.

Walaupun Argentina dan Ecuador sudahpun layak lebih awal, perlawanan di Guayaquil tetap berlangsung sengit.

Nicolas Otamendi dibuang padang pada minit ke-31 dan tuan rumah memperolehi gol kemenangan menerusi Enner Valencia yang menyempurnakan penalti di penghujung babak pertama.

Ecuador turut beraksi dengan 10 pemain selepas Moises Caicedo dilayangkan kad merah pada minit ke-50 namun mereka mampu bertahan daripada dibolosi Argentina untuk mengesahkan kemenangan, sekali gus naik ke tangga kedua kumpulan.

Kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Argentina yang kekal di puncak dengan 39 mata, sembilan mata di depan Ecuador.

Colombia pula menamatkan saingan di tangga ketiga selepas menewaskan Venezuela 6-3 di Maturin, dengan Luis Suarez meledak empat gol sekali gus memadamkan harapan Venezuela memburu tiket playoff.

Uruguay menutup kempen di tempat keempat selepas seri tanpa jaringan menentang Chile di Santiago, manakala jaringan tunggal Matias Galarza memastikan Paraguay menang 1-0 ke atas Peru di Lima untuk berada di tangga keenam.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN