BARCELONA: Barcelona terpaksa mengetepikan Gavi selama lima bulan selepas pemain tengah tersebut menjalani pembedahan lutut, menurut kelab itu semalam.
“Gavi telah menjalani artroskopi bagi merawat kecederaan meniskus medial, yang telah dijahit bagi mengekalkan meniskus tersebut. Tempoh pemulihan dianggarkan sekitar 4-5 bulan,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.
Pemain Sepanyol berusia 21 tahun itu sebelum ini mengalami koyakan ligamen krusiat pada 2023 di lutut yang sama.
Gavi belum bermain sejak Ogos, dengan Barcelona pada awalnya berharap rawatan konservatif dapat menyelesaikan masalah itu tanpa perlu menjalani pembedahan.
Barca akan berkunjung menentang Real Oviedo esok dalam saingan La Liga sebelum menyambut kunjungan Real Sociedad pada Ahad ini dan kemudian menentang Paris Saint-Germain (PSG) minggu depan bagi aksi Liga Juara-Juara.
Gavi dijangka hanya akan kembali beraksi pada awal 2026, tahun di mana Sepanyol dijangka menjadi antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada. – AFP










