ROM: Perubahan besar bakal melanda dunia MotoGP apabila saiz enjin dikurangkan daripada 1,000cc kepada 850cc bermula musim 2027, namun Aprilia bimbang perubahan itu akan menjejaskan pasukannya.
Ketua jentera Aprilia, Marco De Luca menegaskan pembangunan enjin baharu itu memerlukan hampir keseluruhan jentera direka semula, sekali gus menelan perbelanjaan besar berbanding dakwaan ia kononnya lebih menjimatkan.
“Dari sudut kos, pembangunan enjin ini adalah ‘bunuh diri’. Sebenarnya matlamat yang sama boleh dicapai dengan cara yang lebih mudah.
“Anda perlu faham, ia bukan sekadar tukar enjin. Sistem ekzos berbeza, sistem penyejukan lain, kedudukan enjin berubah, malah aliran udara juga berbeza. Hampir keseluruhannya perlu dibina dari awal,” kata De Luca.
Selain penurunan kapasiti enjin, peraturan baharu 2027 juga bakal menyaksikan peranti ketinggian tunggangan dibuang dan penggunaan aerodinamik dikurangkan, dengan alasan utama adalah faktor keselamatan dan mengurangkan kelajuan.
Namun, De Luca berpendapat matlamat itu sepatutnya boleh dicapai melalui faktor lain, termasuk penukaran tayar daripada Michelin kepada Pirelli yang juga diperkenalkan bermula 2027.
Beliau menambah, pada peringkat awal kos penghasilan jentera baharu pastinya melonjak tinggi kerana hampir tiada komponen lama boleh dikekalkan, sekali gus meletakkan pengeluar dalam tekanan kewangan.
“Dari sudut ekonomi, ia cabaran besar buat kami. Pada akhirnya memang akan lahir sebuah motosikal lebih kecil dan ringan, tetapi harganya terlalu tinggi untuk dibayar,” jelasnya. – AGENSI