ALGIERS: Anak legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane iaitu Luca Zidane mengambil keputusan menukar kewarganegaraan daripada Perancis kepada Algeria.
Persekutuan Bola Sepak Algeria (FAF) berkata, pertukaran warganegara penjaga gol berusia 27 tahun itu telah mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“FIFA secara rasmi memberikan kebenaran kepada penjaga gol, Luca Zinedine Zidane untuk mewakili pasukan kebangsaan Algeria,” kata FAF dalam satu kenyataan.
Platform ‘pertukaran persatuan’ FIFA menunjukkan keputusan pertukaran kewarganegaraan pemain itu bertarikh kelmarin, sekali gus membolehkannya mewakili Algeria.
Luca sebelum ini pernah mewakili Perancis di peringkat remaja dan kini beraksi bersama Granada dalam saingan divisyen dua Sepanyol.
Oleh kerana dia tidak pernah dipanggil ke skuad senior Perancis, dia kekal layak untuk menyarung jersi Algeria, negara asal datuk dan nenek sebelah bapanya.
Skuad Algeria sudah pun melayakkan diri ke Piala Negara-Negara Afrika 2025 yang akan bermula pada 21 Disember depan di Maghribi.
Mereka juga mendahului Kumpulan G kelayakan Piala Dunia dengan 19 mata dan hanya memerlukan sama ada kemenangan ke atas Somalia atau keputusan seri menentang Uganda bulan depan untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.
Luca juga pernah bermain untuk pasukan simpanan Real Madrid selepas menamatkan tempoh di akademi remaja kelab itu yang disertainya sejak 2004.
Dia membuat penampilan sulung bersama skuad utama pada perlawanan terakhir liga musim 2017-2018 dan menjadi penjaga gol ketiga ketika Real meraih kejuaraan Liga Juara-Juara ke-13 pada 2018.
Walaupun Zidane dilahirkan di Marseille, keluarganya berasal dari sebuah perkampungan kecil di Bejaia, kira-kira 250 kilometer (km) di timur Algiers.- AGENSI