LANGKAWI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli mengakui misi merebut Jersi Asia pada edisi kali ini bukan lagi menjadi keutamaannya.
Sebaliknya, pelumba kelahiran Muar, Johor itu lebih realistik memburu kemenangan peringkat di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Pelumba yang pernah menyarung Jersi Asia pada 2023 melihat saingan kali ini lebih getir susulan kehadiran beberapa pasukan gergasi termasuk XDS Astana yang tampil dengan barisan pelumba Asia berkualiti.
“Memang tahun ini peluang pakai Jersi Asia agak tipis sebab ramai pasukan hantar pro rider mereka. Contohnya Astana bawa tiga pelumba Asia. Jadi, saya ubah sasaran, fokus saya sekarang mahu menang satu peringkat LTdL,” katanya.
Bagi memastikan impian tersebut tidak tinggal angan-angan, Aiman menegaskan dirinya sudah melengkapkan persediaan rapi dari aspek fizikal dan mental termasuk menyertai beberapa perlumbaan berintensiti tinggi di China.
“Dalam beberapa minggu lepas saya sudah lumba di China. Perlumbaan di sana laju, memang high speed.
“Itu pengalaman penting untuk mantapkan kelajuan, mental dan fizikal saya menjelang LTdL,” jelasnya penuh keyakinan.-UTUSAN