70 pemain berentap di Kejohanan Akhir Kebangsaan PNAGS 2025

70 pemain berentap di Kejohanan Akhir Kebangsaan PNAGS 2025, rebut slot ke Pulau Jeju

SERAMAI 70 peserta bakal berentap pada Kejohanan Akhir Kebangsaan Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) 2025 di Saujana Golf & Country Club (SGCC) pada 29 dan 30 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 70 pemain golf amatur bakal berentap pada Kejohanan Akhir Kebangsaan Siri Golf Amatur Kebangsaan Perodua (PNAGS) 2025 yang akan berlangsung di Saujana Golf & Country Club (SGCC) pada 29 dan 30 September ini.

Penganjuran edisi kelima oleh Delta World ini akan menyaksikan para peserta beraksi dalam dua pusingan dengan format strokeplay nett bagi merebut kejuaraan kebangsaan, sekali gus melayakkan pemenang mewakili Malaysia ke Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2025 di Pulau Jeju, Korea Selatan bulan hadapan.

Selain kategori individu, kejohanan kali ini turut menampilkan kategori berpasukan negeri dengan perebutan Piala Cabaran Perodua sebagai kemuncak saingan.

“Kejohanan Akhir Kebangsaan PNAGS kali ini memberi cabaran dan ujian sebenar kepada semua 70 peserta. Kejohanan ini bakal menguji daya saing, kemahiran dan konsistensi serta kesabaran pemain untuk muncul juara.

“Juara PNAGS tahun ini pastinya akan mewakili negara ke Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) 2025 di Pulau Jeju, Korea Selatan bulan hadapan,” kata pengerusi penganjur kejohanan.

Majlis penyampaian anugerah dan penutup dijadual berlangsung pada 30 September di Ballroom SGCC dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang akan menyampaikan ucapan serta hadiah kepada para pemenang.

PNAGS merupakan sebahagian daripada siri global WAGC, kejohanan golf amatur terbesar dunia, dengan pusingan kelayakan di seluruh Malaysia berjaya menarik ribuan penyertaan sebelum 70 finalis terbaik dipilih ke pentas akhir kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN