PETALING JAYA: Sebanyak 6,246 keping tiket telah terjual setakat pukul 1.30 petang tadi untuk aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Jualan tiket dilihat sedikit perlahan memandang perlawanan berlangsung pada hari bekerja, namun dijangka meningkat esok memandangkan penyokong tempatan merindukan aksi Harimau Malaya.
Untuk rekod, perlawanan terakhir Malaysia menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 jun lalu di menyaksikan 61,512 penyokong memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kehadiran penyokong yang ramai ketika itu didorong oleh revolusi Harimau Malaya yang menampilkan pemain warisan berkualiti tinggi di bawah bimbingan Peter Cklamovski.
Tiket bagi perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Singapura dijual dengan empat pilihan berbeza iaitu RM70 premium, RM60 grandstand, RM40 terbuka dan RM5 kanak-kanak.
Selepas berdepan Singapura, Harimau Malaya akan menentang pasukan kebangsaan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September ini pada pukul 9 malam.
Perlawanan persahabatan ini adalah bagi persiapan skuad kebangsaan sebelum meneruskan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober.-UTUSAN