Kontroversi Miss Universe bawa tuah buat Fatima Bosch

Kontroversi Miss Universe bawa tuah buat Fatima Bosch

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RATU cantik Mexico, Fatima Bosch, meraih gelaran Miss Universe 2025 di Bangkok pada November lalu, sekali gus mengakhiri musim pertandingan penuh kontroversi dan drama.

Apa tidaknya, jelitawan berusia 25 tahun itu bertindak meninggalkan sebuah acara selepas ditegur secara terbuka oleh seorang pegawai Thailand di hadapan puluhan peserta lain.

Lebih mengejutkan, pegawai itu mengugut untuk menyingkirkan sesiapa yang menyokongnya.

Drama itu berterusan seminggu kemudian apabila dua juri meletakkan jawatan, seorang daripadanya menuduh penganjur cuba memanipulasi keputusan pertandingan.

Insiden itu berlaku ketika pertandingan ratu cantik tertua dunia itu sedang dipersoalkan sama ada masih relevan dan semakin kurang penonton.

Suhu bertambah hangat dengan kemenangan Bosch lantas mencetuskan pelbagai pendapat.

Ramai rakyat Mexico meraikan kejayaannya, namun, ada juga yang tertanya-tanya sama ada penganjur memberikan mahkota itu sebagai ‘penghargaan’ atau menebus skandal sebelum ini.

Bosch yang dimahkotakan pada 21 November lalu, meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka kontroversi itu memberi tuah kepadanya.

“Saya tidak menyangka satu malam di Thailand mengubah hidup saya.

“Di atas pentas ini, dengan negara penuh magis ini, saya menerima mahkota dan menjadi Miss Universe. Mulai saat ini, saya akan membawa hati yang penuh kesyukuran dan memori yang tercipta di Thailand, tempat perjalanan saya bermula,” katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini berhubung reaksi negatif terhadap kemenangannya, Bosch mendedahkan menerima serangan maya, termasuk ugutan bunuh dan penghinaan, namun bertekad untuk tidak berundur.

 

DRAMA DI BANGKOK

Di majlis pra-pertandingan awal November, tokoh media Thailand dan penganjur, Nawat Itsaragrisil menegur Bosch di hadapan puluhan peserta kerana gagal menyiarkan kandungan promosi.

Apabila beliau membantah, Nawat memanggil pengawal keselamatan dan mengugut untuk menyingkirkan sesiapa yang menyokong Bosch.

Peserta itu kemudiannya meninggalkan bilik, diikuti beberapa yang lain sebagai tanda solidari, sehingga menjadi berita utama di seluruh dunia.

Pertubuhan Miss Universe mengecam tindakan Nawat sebagai ‘bersifat jahat’, manakala Rocha, melalui video dari Mexico, memberitahu rakan niaga Thailandnya untuk ‘berhenti’.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, memuji Bosch ketika itu sebagai ‘contoh kepada suara wanita’ apabila berdepan dengan tindakan agresif.

Di media sosial, sesetengah peminat menyifatkan drama belakang pentas membantu Bosch meraih mahkota, yang merupakan kemenangan keempat untuk Mexico.

Sementara itu, Pertubuhan Miss Universe memuji semangat Bosch untuk meneruskan pertandingan sehingga meraih kejayaan untuk negara itu.

“Keanggunan, kekuatan dan semangat beliau menawan hati seluruh dunia,” kata pertubuhan itu.

Seminggu selepas kontroversi, dua daripada lapan juri meletakkan jawatan, termasuk pemuzik Lubnan-Perancis, Omar Harfouch.

Harfouch mendakwa ‘juri sementara’ memilih finalis sebelum perlawanan akhir.

Tidak lama selepas itu, bekas pemain bola sepak Perancis, Claude Makelele, turut mengumumkan pengundurannya.

Miss Universe menolak dakwaan Harfouch, dengan menegaskan tiada kumpulan luar dibenarkan untuk menilai peserta atau memilih finalis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×