PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kembali mewarnai gelanggang antarabangsa apabila tampil di Kejohanan Badminton Dunia di Paris bermula esok selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu bakal membuat penampilan pertama sejak Mac lalu selepas bergelut dengan masalah buku lali kanan yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir di China pada Disember, lalu.
“Sudah beberapa ketika dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama saya selepas berehat panjang sebelum ini. Saya tidak akan meletakkan tekanan yang tinggi kepada diri sendiri.
“Apa yang penting adalah untuk menikmati kepulangan ke gelanggang dan bermain aksi kompetitif. Selain itu, saya mahu menamatkan kempen di Paris tanpa sebarang kecederaan,” kata Zii Jia.
Di pusingan pertama, pemain berusia 27 tahun itu dijadual menentang wakil Korea Selatan, Jeon Hyuk-jin yang kini menghuni ranking ke-38 dunia.
Zii Jia yang kini berada di tangga ke-52 dunia dengan perlindungan ranking BWF, dijangka berdepan pilihan keempat dari China, Li Shi Feng sekiranya mara ke pusingan kedua.
Sekiranya mara lebih jauh, anak jati Kedah itu berkemungkinan bertemu juara berganda Sukan Asia, Shi Yu Qi di pentas separuh akhir.
Terdahulu, legenda China, Chen Long turut menitipkan pesanan agar Zii Jia tidak mudah mengalah dan menjadikan setiap kekalahan sebagai pengalaman berharga.-UTUSAN