UMA Racing pacu semangat Hakim buru gelaran juara

UMA Racing pacu semangat Hakim buru gelaran juara

Hakim Danish (dua kanan) dan Alfred Lim (dua kiri) bersama motosikal Yamaha Y15ZR yang menelan belanja lebih RM20,000 untuk diubah suai pada majlis penyerahan di Ibu Pejabat Kumpulan MKA, Kuala Lumpur, semalam. - Ihsan UMA Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang diubah suai sepenuhnya oleh UMA Racing telah dihadiahkan kepada Hakim Danish Ramli sebagai pendorong buat pelumba muda itu untuk terus konsisten memburu tempat ke Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.

Hakim Danish yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-18, minggu lalu, amat berharap kejutan yang diberikan kepadanya itu dapat menjadi penyuntik semangat untuknya beraksi lebih cemerlang dalam perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies yang masih berbaki dua pusingan, musim ini.

“Saya berterima kasih kepada UMA Racing kerana sudi mengubah suai motosikal buruk saya ini, memang menjadi hajat saya untuk memperbaiki motosikal yang saya beli secara tunai, wang hasil saya berlumba pada 2023.

“Tetapi, kesibukan berlumba di Eropah menyebabkan hasrat itu terhalang dan saya tidak sangka UMA Racing merealisasikan impian saya ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Motosikal Yamaha Y15ZR kepada Hakim Danish di sini, semalam.

Untuk rekod, Hakim Danish yang kini berada di kedudukan pendahulu Piala RedBull MotoGP Rookies mengumpul 154 mata dan hanya dipisahkan 13 mata di hadapan Brian Uriarte dari Sepanyol yang mengutip 141 mata, manakala, pelumba Indonesia, Veda Pratama di tangga ketiga dengan 130 mata.

Dua pusingan berbaki akan berlangsung di Spielberg, Austria pada 16-17 Ogos dan di Misano, Itali pada 13-14 September ini.

Hakim Danish yang membeli motosikalnya itu secara terpakai dengan harga RM5,000 berkata, dia sedar tanggungjawab berat menantinya dalam memburu kejuaraan pada Piala RedBull MotoGP Rookies yang semakin tiba ke penghujung musim.

“Perlumbaan Piala RedBull MotoGP ini menjanjikan tempat ke Moto3, musim depan, jadi, saya bertekad untuk mengekalkan kedudukan pendahulu di Spielberg dan Austria,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim berkata, kejutan tersebut dibuat dengan kerjasama ZK Racing sebagai galakan untuk kemajuan Hakim Danish yang beraksi cemerlang di pentas antarabangsa.

“Saya berharap akan ada lebih banyak kejayaan daripada Hakim Danish selepas ini dan sebab itu kita menjayakan projek daripada zero ke hero ini bagi menggalakkan dia terus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Kata Alfred lagi, projek itu juga merupakan salah satu usaha UMA Racing menyokong bakat muda negara dan memastikan pelumba berbakat seperti Hakim Danish mendapat sokongan sewajarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN