TFC buru permulaan sempurna

TFC buru permulaan sempurna

BARISAN pemain Terengganu FC menjalani sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebagai persiapan untuk berdepan Penang FC dalam aksi pembukaan Liga Super musim 2025/2026 di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang, esok.- IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) memburu kemenangan pertama dalam aksi pembukaan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, esok.

Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, tiga mata pertama penting untuk melonjakkan keyakinan pasukan selain menjadi tonik buat anak buahnya menghadapi saingan panjang Liga Super 2025/2026.

Beliau turut menyifatkan aksi pertama liga sebagai ujian sebenar terhadap keberkesanan segala perancangan yang dirangka sepanjang pramusim serta berharap para pemain kekal fokus dan tidak leka.

“Perlawanan pertama selalunya mencabar dan penuh tekanan tapi kalau kita berjaya raih kemenangan, ia beri impak besar terhadap prestasi keseluruhan musim.

“Saya harap pemain fokus dan tidak leka. Kami perlu manfaatkan setiap peluang dan beraksi mengikut strategi yang telah dirancang,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Meskipun TFC mencatat kemenangan 3-1 ke atas lawan dalam aksi persahabatan, Badrul Afzan tidak menganggap keputusan itu sebagai kayu pengukur kekuatan sebenar kerana percaya Harimau Kumbang tampil lebih tersusun dalam perlawanan kompetitif.

Beliau turut menyedari Penang FC memiliki barisan pemain yang tidak boleh dipandang rendah khususnya di jentera serangan yang dikemudi dua bekas pemain TFC, Kipre Tchetche dan Bruno Suzuki.

Menurutnya, kedua-dua penyerang itu mempunyai kelebihan kerana sudah mengenali corak permainan TFC dan berpotensi memanfaatkan sebarang kelemahan yang wujud dalam pasukan.

“Kehadiran mereka (Tchetche dan Bruno) pasti memberi ancaman besar kerana mereka kenal corak permainan kita dan pasti akan cuba manfaatkan kelemahan,” katanya.

Bagaimanapun, dia tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya selepas menamatkan kempen pramusim tanpa sebarang kekalahan.

Mengulas mengenai barisan pemain yang akan diturunkan, jurulatih berusia 49 tahun itu memaklumkan hampir semua pemain utama berada pada tahap terbaik kecuali seorang tonggak import yang belum pulih sepenuhnya.

“Hanya Junior Ngong Sam yang tidak dapat diturunkan kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan paha ketika aksi pramusim baru-baru ini. Lima lagi pemain import iaitu Nurillo Tukhtasinov, Diego Landis, Gabriel Silva, Yann Mabella dan Careca semuanya bersedia diturunkan,” katanya-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN