SSMP pertahan kejuaraan NRDP 7s kebangsaan

SSMP pertahan kejuaraan NRDP 7s kebangsaan

PASUKAN ragbi bawah-17 (B-17) Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) muncul juara Kejohanan Ragbi NRDP 7s B-17 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Percaya kepada proses menjadi resepi kejayaan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) mempertahankan kejuaraan Kejohanan Ragbi Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) tujuh sebelah (7s) bawah 17 (B-17).

Skuad kendalian Yusli Ashan itu menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 26-17 di Padang Ragbi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.

Yusli berkata, pasukannya mulai dibentuk ketika pemain berusia 14 tahun, malah tidak mempunyai pengetahuan tentang sukan tersebut sebelum bakat mereka digilap hingga menjadi juara.

“Syukur dengan kemenangan ini. Tahun lalu kita jumpa SSTMI di final dan berjaya menewaskan mereka, sekali gus ini kejayaan kami mempertahankan kejuaraan pasukan.

“Pemain ini kami kumpulkan ketika mereka berada di tingkatan dua. Kita kena percaya pada proses pembangunan yang kita lakukan. Mereka ini daripada kosong, kami berikan latihan asas sampai mahir bermain secara berkumpulan.

“Kita nampak proses yang kita lakukan itu berjaya, maknanya kita boleh jadikan pelajar ini daripada kosong hingga menjadi juara hasil daripada proses pembangunan yang kita lakukan,” katanya.

Kategori wanita B-17 pula menyaksikan Selangor muncul juara selepas menewaskan Sabah 17-0.

Menurut Yusli, pemainnya kini bersedia menunggu panggilan untuk menyertai kem latihan bagi mewakili NRDP ke Piala Bunga Raya 7s yang dijadual berlangsung Oktober depan.

“Berbeza dengan tahun lalu, satu pasukan kami mewakili NRDP tapi tahun ini pemilihan semula pemain akan dibuat berdasarkan kejohanan ini,” katanya.

Kejohanan dua hari itu menyaksikan 32 pasukan 16 lelaki dan 16 wanita dari seluruh negara bertarung sengit bagi merebut gelaran juara selain menjadi medan mencungkil bakat terbaik dalam kalangan pemain muda tanah air.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN