PETALING JAYA: Tujuh pemain senior yang dikekalkan dalam skuad hoki kebangsaan berdepan tanggungjawab besar bagi memastikan rakan-rakan sepasukan mereka memberi komitmen sepenuhnya kepada Speedy Tigers.
Perkara itu diakui oleh pertahanan skuad hoki kebangsaan, Syed Syafiq Syed Cholan apabila dia bersama enam lagi rakannya perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik disamping membimbing pemain muda Speedy Tigers.
Syed Syafiq bersama Speedy Tigers dalam persiapan menghadapi Piala Asia di India pada 27 Ogos hingga 7 September ini berkata, skuad yang dibentuk pada kali ini tidak sama apabila ketua jurulatih negara, Sarjit Singh membariskan ramai pemain muda.
“Berbeza dengan pasukan sebelum ini yang mana jurulatih terdahulu memanggil pemain yang sama tetapi apabila jurulatih Sarjit datang dia rombak pasukan. Dia ambil pemain muda dan kekalkan beberapa pemain senior.
“Tanggungjawab besar untuk bimbing pemain muda sebab kita tak boleh menjangkakan keputusan segera. Kita tahu perkembangan pemain muda berbeza dengan pemain lepas.
“Dulu, sewaktu jurulatih Arul (Selvaraj) dia ambil pemain sedia ada daripada zaman jurulatih Stephen (van Huizen) dan Roelant (Oltmans) kemudian dia (Arul) ambil alih. Ada kesinambungan di situ tetapi kali ini skuad baharu,” katanya.
Selain Syed Syafiq enam lagi pemain senior yang dikekalkan adalah Marhan Jalil berusia 35 tahun, Najib Abu Hassan (30), Faiz Helmi Jali (33), Mohd Fitri Saari (32), Hafizuddin Othman (33) dan Ashran Hamsani (30).
Syed Syafiq, 30, turut berkata, semangat perpaduan dan bergerak dalam satu pasukan diterapkan bagi membentuk suasana harmoni dalam kalangan pemain.
“Pemain senior kena ambil peranan untuk mengetuai pemain muda sebab kita tahu mereka kurang pengalaman dan keyakinan juga akan kurang. Jadi, tanggungjawab senior untuk bimbing mereka dalam latihan, di luar waktu latihan, cara berfikir dan kami kena bergerak seiring,” katanya.-UTUSAN