Man. City waspada ancaman Spurs

Man. City waspada ancaman Spurs

Erling Haaland (tengah) meraikan gol pembukaan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Wolverhampton Wanderers dan Manchester City di stadium Molineux di Wolverhampton, minggu lalu - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola perlu lebih berhati-hati dengan rekod cemerlang Tottenham ketika menentang pasukannya, menjelang pertembungan kedua-dua kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Skuad bimbingan Guardiola memulakan musim dengan bergaya selepas membenam Wolves 4-0, dengan Erling Haaland menjaringkan dua gol dan Tijjani Reijnders menampilkan aksi mantap dalam penampilan kompetitif pertamanya sejak berpindah dari AC Milan pada musim panas.

Sementara itu, Spurs yang dikendalikan Thomas Frank turut mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Burnley di laman sendiri untuk melakar permulaan sempurna dalam saingan Liga Perdana yang juga aksi pertamanya bersama kelab itu.

City menang 1-0 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan EPL pada Februari 2025, dengan Haaland menjaringkan gol tunggal perlawanan. Namun berdasarkan rekod, City sering bergelut apabila bertemu kelab utara London itu.

Anak buah Guardiola hanya menang empat daripada 12 pertemuan terakhir EPL, seri dua kali dan tewas enam termasuk kekalahan memalukan 0-4 di laman sendiri musim lalu yang merencatkan usaha mereka mempertahankan gelaran.

City kini berdepan beberapa isu kecederaan menjelang perlawanan ini dan Guardiola dijangka memberi peluang keadaan Phil Foden dan Rodri selepas memberi bayangan kedua-duanya hampir cergas ketika menentang Wolves.

“Foden dan Rodri dijangka mendapat minit permainan, mereka sudah cergas. Namun, masih terlalu awal untuk menilai, kita akan tunggu perkembangan mereka. Menentang Tottenham sentiasa sukar dan pasukan tidak boleh memandang rendah cabaran mereka.

“Aksi pertama (menentang Wolves) kami bermula cemerlang dan saya berharap ksi konsisten ini dapat diteruskan oleh semua pemain, semua mahu menjaringkan gol, tetapi yang lebih penting ialah bermain secara berpasukan,” kata Guardiola.

Josko Gvardiol yang tidak tersenarai dalam kunjungan ke Molineux, turut bakal menjadi topik perbincangan manakala Savinho pula terlepas perlawanan menentang Wolves susulan kecederaan pada aksi pra-musim terakhir City.

Di kem Spurs pula, Richarlison tampak bersemangat selepas menjaringkan dua gol di kedua-dua babak, termasuk satu jaringan akrobatik dengan kedua-dua gol dibantu pemain baharu, Mohammed Kudus ketika membenam Burnley.

Jurulatih Thomas Frank dan pasukannya berada dalam mood yang baik, meskipun ada segelintir penyokong Spurs kecewa dengan berita bahawa perpindahan sasaran utama mereka, Eberechi Eze, telah ‘dipintas’ oleh seteru setempat, Arsenal.

Frank mengesahkan Spurs masih “aktif di pasaran” untuk mencari pemain baharu, dengan pemain Man City, Savinho dipercayai menjadi antara sasaran utama mereka.

Tottenham menuju ke perlawanan malam ini dengan misi untuk mencatat dua kemenangan pertama dalam kempen EPL buat kali pertama sejak musim 2021–2022.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN