PETALING JAYA: Kelantan The Real Warriors (TRW) wajar berterima kasih kepada penjaga gol importnya, Damyanov Damyan yang banyak menyelamatkan pintu gawang ketika terikat tanpa jaringan dengan Sabah FC, sebentar tadi.
Dalam aksi Liga Super di Stadium Likas yang disaksikan 6,438 penonton itu, Sabah melancarkan banyak serangan ke pintu gol skuad kendalian E. Elavarasan, namun Damyan beraksi cemerlang mengelak gawang daripada dibolosi.
Pada babak pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan setiap gerakan berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan masing-masing yang menyaksikan tiada sebarang jaringan pada babak pertama.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada babak kedua menerusi pemain Harimau Malaya, Daniel Ting, namun percubaan tonggak warisan pada minit ke-65 itu gagal menggegar jaring biarpun hanya berdepan situasi satu lawan satu dengan Damyan.
Pada lewat permainan, Azhad Harraz Arman menggamatkan Stadium Likas, namun jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus mengecewakan ribuan penyokong Sang Badak.
Keputusan 0-0 menyaksikan kedua-dua berpuas hati dengan satu mata dan untuk Kelantan TRW, ia merupakan satu keputusan yang baik kerana berjaya mencuri mata di gelanggang lawan.- UTUSAN