Hakim Danish dari Kampung Surau ke Tarragona

Hakim Danish dari Kampung Surau ke Tarragona

Hakim Danish dan Valentin Perrone (kiri) bergambar bersama jaguh MotoGP, Marc Marquez.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIM Danish Ramli merupakan seorang anak kampung yang dibesarkan di Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ketika usianya meniti ke angka 17 tahun, demi kemajuan kariernya sebagai pelumba motosikal, Hakim Danish terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta selepas memilih untuk menetap di Eropah.

Lebih tepat lagi sejak awal tahun ini, Hakim Danish telah tinggal di sebuah bandar pelabuhan dekat Tarragona, Barcelona, Sepanyol.

Dia menetap di sebuah pangsapuri yang dikongsi bersama pelumba yang beraksi di dalam Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto3, Valentin Perrone dan juga seorang lagi pelumba, Lorenzo Pontillo yang bersaing dalam Northern Talent Cup.

Memulakan cerita tentang kehidupannya di Tarragona, Hakim Danish berkata, dia semakin serasi dengan kehidupan baharunya di Sepanyol dan bersyukur penduduk tempatan menerimanya dengan baik tanpa ada rasa prejudis terhadap orang Asia.

PERLUMBAAN di Litar Aragon, Sepanyol merupakan pencapaian terbaik Hakim Danish (dua kiri) bagi musim 2025 selepas muncul juara pada saingan tersebut, bulan lalu. – IHSAN SIC RACING

“Saya tinggal di sebuah kawasan kejiranan yang rata-ratanya penduduk di situ telah berkeluarga, jadi, suasananya memang selesa.

“Mengenai rakan serumah pula walaupun mereka orang Eropah, tetapi, saya tiada masalah tinggal dengan mereka yang memahami saya beragama Islam, lebih-lebih lagi Perrone yang saya kenal sejak beraksi dalam Piala RedBull MotoGP Rookies lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, penting untuk dua rakan serumahnya menghormati budaya dan agama yang dianutinya, begitu juga sebaliknya.

“Mereka memang menghormati kalau saya hendak pergi solat dan biasanya saya selesa solat di rumah kerana ia lebih mudah dan hubungan saya dengan rakan serumah dah macam adik beradik,” katanya.

Hidup bersendirian tanpa krew dari Malaysia yang hanya datang melawatnya apabila ada perlumbaan, Hakim Danish berkata, dia sentiasa mengingatkan dirinya tentang asal usul dan pegangan agama Islam.
“Jika tidak terbabit dalam perlumbaan, saya ambil peluang mengenali dengan lebih dekat komuniti Islam di Tarragona dan saya bersolat Jumaat di sebuah surau yang dikendalikan penduduk berketurunan Arab,” katanya.

Memandangkan kesukaran untuk mendapatkan makanan halal secara konsisten, Hakim Danish juga memilih untuk memasak sendiri di rumah yang dipelajari daripada YouTube.

“Makan, selalunya saya masak sendiri. Ya, kebiasaannya itulah makanan saya, saya masak spageti, spageti kosong, letak minyak zaitun ataupun saya letak tomato je,” katanya.

Bercakap tentang makanan Sepanyol yang digemarinya, Hakim Danish yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-18 pada 29 Julai lalu berkata, dia sukakan paella yang merupakan sajian berasaskan nasi.

Katanya, sebagai anak jati Malaysia, nasi sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada lidahnya yang sudah terbiasa dengan makanan ruji tersebut.

“Mujur orang Sepanyol pun sukakan nasi, mereka ada makanan bernama paella, jadi, saya kalau ada kesempatan akan menikmati sajian itu di mana-mana restoran halal,” katanya.

Hakim Danish berkata, sebagai orang Pantai Timur yang berasal dari Terengganu, semestinya kampung halaman akan terus melekat dihatinya dan pada permulaan kehidupan di Sepanyol memang tidak dinafikan agak sukar.

Hakim Danish (kiri), Veda Pratama (tengah) dan Benat Fernandez bersama trofi masing-masing selepas perlumbaan 2 Piala RedBull MotoGP Rookies berakhir di Litar Mugello, Itali. – Ihsan SIC Racing

Namun, demi impiannya untuk beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, Hakim Danish sedar dia perlu berkorban dan menahan diri untuk hidup bebas seperti remaja lain.

“Saya berharap dapat beraksi dalam kejuaraan dunia, tahun depan, dan sudah tentu impian paling besar saya ialah untuk berlumba dalam kelas utama iaitu MotoGP satu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Hakim Danish kini berada di kedudukan pendahulu Piala RedBull MotoGP Rookies dengan 154 mata dan dia diekori rapat oleh pelumba Sepanyol, Brian Uriarte yang mengumpul 141 mata, manakala, Veda Pratama dari Indonesia di tangga ketiga selepas mengutip 130 mata.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN