GP Malaysia beri impak kepada ekonomi negara - Hannah

GP Malaysia beri impak kepada ekonomi negara – Hannah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui penganjuran Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia memberi impak positif kepada ekonomi negara dalam pelbagai sektor dan sokongan daripada wakil rakyat mampu memainkan peranan bagi menarik kehadiran pengunjung menyaksikan perlumbaan itu.

Beliau berkata, setiap kali GP Malaysia dianjurkan, kerajaan sememangnya akan meminta satu kajian impak kepada ekonomi negara dilaksanakan dan ia terbukti memberi kesan yang amat positif.

“Tahun lepas sahaja 4,500 pekerja (mendapat manfaat daripada) peluang-peluang pekerjaan yang dicipta melalui MotoGP.

“Saya berharap generasi muda akan gunakan peluang ini untuk belajar kemahiran baharu daripada penganjuran sukan antarabangsa seperti ini dan sasaran 200,000 pengunjung dapat dicapai.

“Justeru, saya juga berharap ahli-ahli wakil rakyat akan mainkan peranan bawa penduduk masing-masing, tahun lepas kita jemput semua wakil rakyat datang supaya mereka tahu. Kalau tidak, dalam Parlimen mereka akan selalu tanya kenapa kerajaan belanjakan duit seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran GP Malaysia 2025 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif dan Pengerusi SIC, Datin Anita Azrina Abdul Aziz di sini, kelmarin.

Mengulas pula mengenai kontrak GP Malaysia yang akan berakhir tahun depan, Hannah berkata, setiap kali ada lanjutan kontrak, SIC memang ada membuat permohonan kepada kerajaan dan ia akan dibentangkan dalam Kabinet.

Katanya, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, namun, beliau yakin kerajaan sentiasa menyokong penganjuran GP Malaysia kerana ia membawa banyak pengunjung ke SIC.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai masa depan Hakim Danish Ramli, beliau menjelaskan, kerajaan menyedari tentang keperluan kewangan pelumba muda Malaysia itu yang amat memerlukan sokongan dana bagi meneruskan kelangsungan kariernya.

“Untuk Hakim (Danish), Kementerian Belia dan Sukan akan memohon kepada Kementerian Kewangan untuk dapatkan lebih banyak dana, kita berharap Kementerian Kewangan akan membantu kita, tetapi seperti yang anda semua tahu, sukan pemotoran ini bukan satu sukan yang murah.

“Jadi pelaburan ini mengambil masa dan doakan kita berjayalah dalam permohonan untuk dapatkan lebih banyak dana untuk Hakim dan saya tahu MAM (Persatuan Sukan Bermotor Malaysia) juga sedang berusaha membantu Hakim,” katanya.

Kata Hannah, geran Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tidak mencukupi untuk bantu Hakim Danish kerana terlalu banyak permohonan, justeru, pihaknya akan terus membuat susulan dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan membantu pelumba itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN