PARLIMEN: Pemimpin belia boleh kekal hingga tamat penggal

PARLIMEN: Pemimpin belia boleh kekal hingga tamat penggal

HANNAH YEOH - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin belia yang melepasi umur 30 tahun selepas had umur belia dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026 masih boleh memegang jawatan dalam pertubuhan masing-masing sehingga mesyuarat agung pemilihan baharu diadakan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, bagaimanapun, mereka tidak lagi layak untuk dicalonkan semula selaras dengan peruntukan Seksyen 6 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

“Mulai 1 Januari 2026, ahli biasa yang tidak memegang jawatan dan mencapai umur 30 tahun akan hilang kelayakan sebagai ahli biasa pertubuhan belia. Mereka juga tidak lagi layak mengundi atau bertanding dalam mesyuarat agung pemilihan.

“Namun begitu, mereka masih boleh terus terlibat sebagai penasihat, mentor, fasilitator, penggerak, pekerja belia atau alumni, tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH–Bandar Kuching) mengenai implikasi pindaan akta berkenaan terhadap kepimpinan pertubuhan belia selepas had umur ditetapkan.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi memudahkan proses peralihan ahli atau pemimpin belia yang mencapai had umur ke pertubuhan berdaftar lain.

Sementara itu, beliau berkata, KBS telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan transisi pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Antara inisiatif itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja Transisi yang dipengerusikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, pelaksanaan program Bicara Transisi Belia, Bengkel Tadbir Urus, Program Pengurusan Organisasi (PPO), Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) serta pensijilan profesionalisme kerja belia.

Menurut Hannah, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 9.5 juta belia berumur antara 15 hingga 30 tahun iaitu 27.9 peratus daripada populasi negara.

“Pada masa ini, terdapat 99,271 pemegang jawatan dalam pertubuhan belia, dengan 53.99 peratus atau 53,606 orang daripadanya berada di bawah umur 30 tahun,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia itu memberi impak langsung kepada struktur pentadbiran dan kepimpinan dalam 8,272 pertubuhan belia berdaftar di bawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN