PETALING JAYA: Tahap disiplin tinggi menjadi kunci kejayaan Terengganu FC (TFC) ketika membelasah DPMM FC 5-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, tiga mata yang diraih bukan tugas mudah, namun semangat juang pemain memastikan skuad Penyu pulang dengan kemenangan besar di tempat lawan.
“Syukur Alhamdulillah, tiga mata ini amat berharga buat kami. Tahniah kepada semua pemain kerana beraksi dengan intensiti tinggi. Lima jaringan di Brunei bukan sesuatu yang mudah.
“Kami juga berjaya mengekang ancaman penyerang nombor 9 dan 10 DPMM yang sebelum ini banyak memberi kelebihan kepada mereka. Pemain-pemain kekal fokus dan disiplin, akhirnya kita dapat lima gol,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih DPMM FC, McAllister James Reynolds kecewa dengan aksi longlai anak buahnya yang banyak melakukan kesilapan individu sehingga dibolosi dengan jaringan besar.
Katanya, kegagalan mengawal tekanan sejak awal permainan menyebabkan DPMM ketinggalan seawal minit pertama, sekali gus merencatkan rentak permainan pasukan.
“Kami bermain di tempat sendiri tetapi terlalu banyak kesilapan individu. Gol pertama selepas 10 saat cukup mengecewakan. Pemain tidak menunjukkan keyakinan dan semangat juang.
“Perkara ini tidak boleh diterima. Kami sudah berlatih untuk menghadapi serangan balas mereka, tetapi pemain gagal mengaplikasikannya di atas padang.
“Saya kecewa dengan beberapa pemain yang tidak menunjukkan usaha mencukupi, mereka tidak akan diturunkan pada perlawanan akan datang,” tegasnya.-UTUSAN