PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih belum memuktamatkan senarai penuh pemain yang akan dipanggil bagi mengharungi aksi persahabatan pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), September ini.
Skuad kebangsaan akan mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 berdepan Singapura pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menentang Palestin empat hari kemudian di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Masih awal untuk mengesahkan skuad yang akan dipanggil pada September ini, tetapi apa yang boleh saya katakan ialah pemain Malaysia di luar negara, semuanya menunjukkan prestasi yang baik untuk kelab mereka.
“Ia memberi kita berita baik kepada dan saya pasti ia memberi inspirasi kepada penyokong Malaysia yang turut berada bangga dengan mereka,” katanya.
Jelas Cklamovski semua pemain kebangsaan yang beraksi di dalam mahupun luar negara sentiasa dipantau oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Pemain kebangsaan yang berada di luar negara adalah Facundo Garces, beraksi di La Liga, Rodrigo Holgado (Liga Columbia), Imanol Machuca (Liga Argentina), Gabi Palermo (Liga Sepanyol divisyen 2) dan Dion Cools (J1 League).
“Semua pemain kita yang beraksi di luar negara menunjukkan aksi yang baik ketika bermain bersama kelab-kelab diwakili mereka. Dari sudut perspektif kami, sangat bagus untuk melihat mereka membina bentuk dan mendapat minit permainan.
“Apa yang penting, sesiapa sahaja yang dipilih untuk kem pada bulan September ini, ia adalah peluang untuk membanggakan negara sekali lagi dan kami terus membina skuad kami untuk perlawanan penting Oktober dan November untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027,” jelasnya.
Cklamovski dijangka mengumpulkan barisan terkuat menjelang aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin bagi membentuk keserasian, selain memburu kemenangan untuk perbaiki kedudukan ranking FIFA.
Difahamkan, senarai nama pemain yang akan dipanggil menyertai kem latihan pada jendela FIFA pada September ini akan diumumkan minggu depan.-UTUSAN