Azeem perlu buru gelaran Raja Pecut Asia Tenggara

Azeem perlu buru gelaran Raja Pecut Asia Tenggara

Azeem Fahmi
MUHAMMAD AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi perlu membuktikan dirinya mampu bergelar Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun ini.

Biarpun masih tiada kata putus tentang penyertaan penuntut Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS) ke temasya dwitahunan itu, perlu diakui Azeem merupakan harapan pingat buat kontinjen negara.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, satu kerugian buat kontinjen negara jika atlet berusia 21 tahun itu tidak menyertai Sukan SEA 2025 memandangkan dia merupakan prospek pingat buat Malaysia.

Katanya, Azeem masih belum mengecapi sebarang gelaran di peringkat antarabangsa lantas Sukan SEA 2025 merupakan medan terbaik buat pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu untuk membuktikan kehebatan dirinya.

“Sebenarnya memang kita harapkan pingat emas bagi acara 100m di Sukan SEA tambahan pula kita ada Azeem. Kita nak tengok Azeem membuktikan kemampuan dia di Asia Tenggara, dia belum buktikan lagi.

“Kita harap dengan pengalaman dan pendedahan yang ada pada Azeem, kita harap dia akan menyerlah di Asia Tenggara. Walaupun kita tidak boleh paksa dia tapi sekurang-kurangnya kali ini dia dapat buktikan dirinya layak digelar Raja Pecut Asia Tenggara,” katanya.

Terdahulu, Azeem mempertimbangkan untuk tidak menyertai Sukan SEA 2025 yang diadakan pada Disember ini memandangkan waktu tersebut merupakan tempoh off-season terbaik buat dirinya.

Azeem tidak menyertai Sukan SEA Kemboja 2023 kerana memberi tumpuan kepada latihan dan kejohanan di AS dan penampilan sulungnya di Sukan SEA Vietnam sebelum itu berakhir dengan kekecewaan apabila dia tersingkir pada saringan 100m akibat ‘false start’.

Jika tidak beraksi di Sukan SEA 2025, pemegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09 saat (s) itu terlepas peluang untuk menebus kekalahan kepada seteru utama, Puripol Boonson.

Azeem tewas tiga kali berturut-turut kepada raja pecut Thailand yang memiliki catatan terbaik 10.06s termasuk meraih perak Sukan Universiti Dunia 2025 di Jerman minggu lalu yang menyaksikan atlet negara itu sekadar meraih tempat keempat.

Kali terakhir Malaysia meraih emas 100m Sukan SEA melalui Muhammad Haiqal Hanafi pada edisi Manila 2019 dan sebelum itu dimenangi oleh Khairul Hafiz Jantan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN