PETALING JAYA: Sukan bola sepak bukan sekadar aktiviti kecergasan bagi meningkatkan kesihatan semata-mata, sebaliknya platform terbaik untuk mengeratkan hubungan pelbagai latar belakang.
Menerusi satu aksi persahabatan di AG Sports Arena, Serdang kelmarin, skuad gabungan pengamal media, Utusan/Kosmo FC berjaya mengatasi pasukan Pilihan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan keputusan 3-0.
Lebih meriah, perlawanan persahabatan bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kedua-dua pihak itu dirasmikan sendiri oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani yang turun padang menyaksikan pertarungan penuh intensiti tersebut.Perlawanan berlangsung sengit dengan menyaksikan kedua-dua pasukan mempertaruhkan barisan terkuat bagi menyajikan aksi terbaik untuk mencipta kemenangan menerusi dua gol daripada Mohd. Hasriq Amiruddin dan satu jaringan menarik hasil tandukan wartawan Sukan Kosmo!, Muhammad Helmee Ramli.
Bagaimanapun, bukan keputusan yang dicari, sebaliknya lebih kepada mengeratkan dan memperkukuh hubungan sekali gus memudahkan usaha media menyalurkan maklumat tepat berkaitan apa juga program atau pun inisiatif dilaksanakan oleh MARDI.-UTUSAN