PETALING JAYA: Trofi Tuanku Muhriz 2025 yang membuka tirai, esok sehingga 31 Ogos ini di Seremban, Negeri Sembilan bakal berlangsung tanpa kelibat juara bertahan, Aira Azman yang memilih tidak mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lepas.
Pemain muda negara itu yang baru sahaja mencipta hatrik merangkul gelaran ketiga pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Pulau Pinang, baru-baru ini memilih untuk beraksi pada Terbuka Mesir yang diadakan bulan depan.
“Saya akan menyertai Terbuka Mesir pada September ini dan dijangka berdepan laluan sukar seawal pusingan kedua apabila dijadual bertemu bintang No. 3 dunia, Hania El Hammamy,” katanya yang menghuni ranking No. 27 dunia.
Walaupun tanpa kelibat Aira, 21, cabaran Malaysia bagi edisi kali ini akan diketuai oleh pemain No. 48 dunia, Noor Ainaa Amani Ampandi dan C. Ameeshanraj dalam saingan perseorangan wanita serta lelaki.
Ainaa yang diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang Nour Heikal dari Mesir yang menghuni ranking ke-45 dunia mendapat bye pada pusingan pertama.
Pemain berusia 23 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu dijangka membuka aksinya menentang wakil Jepun sama ada Risa Sugimoto atau Ayumi Watanabe di pusingan kedua.
Turut berada di dalam undian utama perseorangan wanita ialah seorang lagi pemain Mesir, Nardine Garas yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, manakala, wakil Switzerland, Cindy Merlo dan Sin Yuk Chan dari Hong Kong turut berada di dalam undian utama.
Dalam saingan perseorangan lelaki pula, pemain Hong Kong, Henry Leung bakal turun selaku pilihan pertama, manakala, Ameeshanraj diletakkan sebagai pilihan kedua dan wakil Pakistan, Nasir Iqbal memegang status pilihan ketiga serta Aly Hussein dari Mesir pilihan keempat.
Kejohanan anjuran Persatuan Squash Negeri Sembilan (PSNS) itu yang akan dilangsungkan di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Hj Mohd Said kini memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022 dan terus menarik penyertaan pemain elit antarabangsa.
Sebanyak lebih 10 negara mengambil bahagian dengan hadiah wang tunai berjumlah US$15,000 (RM62,970) untuk dimenangi bagi setiap kategori, sekali gus mengukuhkan reputasi Trofi Tuanku Muhriz sebagai kejohanan penting dalam kalendar Jelajah PSA.
Sejak edisi sulung pada 2022, Trofi Tuanku Muhriz telah melahirkan juara ternama antaranya Abhay Singh dari India (2022), Aly Hussein dari Mesir (2023) serta Lau Tsz Kwan dari Hong Kong (2024) dalam saingan lelaki.
Bagi aksi wanita pula, wakil Malaysia cemerlang menerusi Aira yang merangkul gelaran pada edisi 2022 dan 2024, manakala, S. Sivasangari memenanginya pada 2023. – UTUSAN