KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik boleh beraksi dengan lebih tenang apabila tidak menjadi satu-satunya tumpuan pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis yang membuka tirainya pada Isnin ini.
Peningkatan prestasi ditunjukkan gandingan lain dalam kem kebangsaan dan profesional terbukti dapat mengurangkan tekanan yang sebelum ini sering tertumpu kepada juara dunia
Kehadiran beberapa lagi wakil negara yang turut diberikan status pilihan dalam acara beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran dijangka mampu mengurangkan beban di bahu pasangan No.2 dunia itu.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan keadaan itu sebagai kelebihan yang memberi ruang untuk Aaron-Wooi Yik menampilkan prestasi lebih mantap.
“Saya setuju (kurang tekanan) kerana selama ini kita selalu memberikan tumpuan kepada Aaron-Wooi Yik. Sekarang kita ada (Goh) Sze Fei-Nur Izzuddin (Rumsani) serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
“Dengan beregu-beregu kita sudah menunjukkan peningkatan, ianya memang akan mengurangkan (tekanan) itu. Memang saya setuju dengan apa yang diperkatakan,” kata Rexy kepada pemberita di ABM, Bukit Kiara sebelum berlepas ke Paris, kelmarin.
Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut menurunkan beregu lelaki lain iaitu Sze Fei-Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun, pasangan wanita Pearly Tan-M. Thinaah serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang kesemuanya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Rexy juga optimis Malaysia mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat daripada Paris, namun tetap enggan menekan pemain dengan sasaran terlalu tinggi.
“Siapa sahaja yang bermain di Kejohanan Dunia pastinya mahukan gelaran juara tetapi jika kita mara ke separuh akhir, itu sudah membolehkan kita dapat pingat. Bagaimanapun, kita beri ruang kepada pemain untuk bermain seperti biasa,” ujarnya.
Ketika ini skuad beregu badminton negara sudah tiba di Paris pada tengah hari semalam manakala pasukan perseorangan sedang berlatih dengan skuad kebangsaan Denmark di Copenhagen.-UTUSAN