PETALING JAYA: Kesilapan ketika menerima servis menjadi punca utama kekalahan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di suku akhir Terbuka China, semalam.
Tang Jie-Ee Wei yang tunduk kepada gandingan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui 19-21, 15-21 mengakui mereka gagal mengekang asakan lawan sejak awal permainan.
“Saya rasa kami kalah hari ini (semalam) kerana kesilapan ketika menerima (servis). Kami tidak menjadi. Mereka banyak dapat mata dari kesilapan itu.
“Satu lagi yang kami kena perbaiki ialah fokus dalam rali panjang, sebab bila situasi begitu berlaku, kami mudah hilang tumpuan,” kata Tang Jie selepas perlawanan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Ketika ditanya sama ada keadaan gelanggang yang didakwa berangin oleh beberapa pemain sebelum ini dan memberi kesan kepada corak permainan, Tang Jie enggan menjadikannya sebagai alasan kekalahan.
“Saya rasa keadaan itu sama sahaja untuk semua pemain. Jadi kami sendiri perlu bertanggungjawab dan belajar untuk menyesuaikan diri bermain dalam suasana seperti ini, terutama di stadium yang besar,” kata Tang Jie.
Kekalahan ini sekaligus menamatkan momentum positif yang mereka cipta sejak digandingkan semula bermula Jun lalu selepas mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia dan Jepun.
Beregu No. 4 dunia itu kini akan meneruskan kempen ke Terbuka Macau minggu depan dengan aksi pembukaan menentang pasangan tuan rumah, Leong Lok Chong-Ng Wei Chi.
Dalam pada itu, hasrat beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk melangkah lebih jauh dalam Terbuka China tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 7-21, 15-21, semalam.
Ini merupakan penampilan pertama Pei Kee-Mei Xing di suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 biarpun akhirnya ditundukkan pasangan No. 7 dunia dari China itu.
“Sepanjang tahun ini, saya rasa prestasi minggu ini adalah yang terbaik buat kami, walaupun sedih kerana gagal memberi tentangan kepada kelajuan lawan yang sangat hebat,” kata Mei Xing.
Mereka seterusnya akan meneruskan kempen ke Terbuka Macau dengan menentang pasangan No. 27 dunia dari Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan pada aksi pembukaan minggu depan.-UTUSAN