FAM berisiko sukar cari aksi persahabatan ‘gred A’

FAM berisiko sukar cari aksi persahabatan ‘gred A’

SKUAD Harimau Malaya berisiko sukar untuk mendapatkan lawan 'gred A' pada jendela FIFA September depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan menarik diri daripada Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 mungkin memberi kesan jangka panjang kepada skuad Harimau Malaya terutama dalam usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan perlawanan persahabatan bertaraf tinggi atau ‘gred A’ selepas ini.

Dalam dunia bola sepak antarabangsa, aksi persahabatan gred A bukan sahaja penting untuk peningkatan ranking FIFA, tetapi juga menjadi platform utama menguji kekuatan sebenar pasukan sebelum menghadapi kejohanan besar seperti Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia.

Namun, penarikan diri secara mengejut daripada kejohanan CAFA yang melibatkan pasukan elit seperti Iran, Uzbekistan dan Tajikistan, dikhuatiri boleh memberi isyarat negatif kepada negara-negara lain sekali gus menyebabkan mereka lebih berhati-hati untuk menjadualkan perlawanan dengan Malaysia.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mohd Sadek Mustaffa, imej sesebuah pasukan bukan hanya bergantung kepada prestasi di atas padang, tetapi juga kepada komitmen dan reputasi dalam menyertai kejohanan atau perlawanan yang telah dipersetujui.

“Walaupun alasan penarikan diri adalah disebabkan kejohanan itu di luar kalendar FIFA dan ketiadaan pemain utama, negara-negara lain mungkin melihat Malaysia sebagai pasukan yang sukar memberikan komitmen penuh. Ini boleh jejaskan usaha FAM untuk atur perlawanan berprofil tinggi selepas ini.

“Bila FAM buat macam ini, mungkin agak sukar selepas ini untuk pasukan kebangsaan mendapat lawan di ranking lebih baik daripada Malaysia bagi mengatur aksi persahabatan dan penganjur kejohanan lain juga akan fikir banyak kali ini untuk menjemput pasukan kita kelak.

“Saya harap FAM dan pihak terlibat belajar daripada kesilapan ini dan mampu mencari pasukan di ranking 100 kebawah untuk berlawan dengan kita bagi aksi persahabatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Lebih membimbangkan, situasi ini berlaku ketika Malaysia sepatutnya memperkemaskan persiapan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 seterusnya dan aksi persahabatan berkualiti tinggi sangat diperlukan bagi menyesuaikan taktikal dan membina keserasian pemain.

Ketika ini, negara-negara Asia Barat dan Asia Tengah dilihat lebih proaktif mengatur perlawanan kompetitif sebagai sebahagian daripada persediaan mereka sedangkan Malaysia terpaksa menilai semula pilihan lawan, yang mungkin terhad kepada pasukan serantau atau dari kelompok ranking lebih rendah.

Walaupun FAM dilaporkan sedang mencari alternatif lain termasuk mengatur aksi persahabatan dengan negara dari Asia Tenggara atau Timur Tengah, kesannya mungkin tidak setara dengan cabaran yang ditawarkan oleh pasukan seperti Iran atau Uzbekistan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN