Speedy Tigers pamer aksi tidak konsisten

Speedy Tigers pamer aksi tidak konsisten

Pemain Wales meraikan gol penyamaan ketika menewaskan Malaysia 2-1 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam Piala Negara-Negara, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kelmarin. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aksi tidak konsisten sepanjang kejohanan menjadi punca utama kegagalan skuad hoki lelaki negara untuk sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir saingan Piala Negara-Negara.

Kapten negara, Muhammad Marhan Jalil, berkata, kelekaan terutama pada suku ketiga dan keempat dalam setiap perlawanan menyebabkan lawan mengambil kesempatan untuk mencuri kemenangan.

“Bagi saya, pasukan yang berjaya ke final lebih konsisten dari minit pertama hingga tamat perlawanan. Kita pula hanya konsisten pada awal permainan, tetapi mula hilang fokus terutama di suku ketiga dan keempat.

“Kita mungkin mendahului 3-0, tetapi akhirnya tewas kerana gagal pertahankan kelebihan itu. Perkara seperti ini perlu dikaji semula dan kita perlu lebih serius dalam latihan,” katanya.

Bagaimanapun, Marhan memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan pemain muda negara walaupun pasukan berada dalam kedudukan sukar.

“Saya tidak nafikan komitmen semua pemain, termasuk pemain muda yang sudah beri sepenuhnya. Walaupun cedera, ada yang tetap teruskan permainan kerana mahu berjuang demi pasukan. Itu satu petanda positif,” katanya.

Mengulas mengenai dua kejohanan penting yang akan disertai tahun ini Piala Asia di India dan Piala Sultan Azlan Shah, pemain berpengalaman itu berharap pemain senior dapat memainkan peranan membimbing generasi muda untuk mempercepatkan proses penyesuaian mereka di pentas antarabangsa.

“Sebagai pemain senior, peranan kami adalah membantu pemain muda menyesuaikan diri dengan cepat terutama dari segi intensiti perlawanan peringkat tertinggi.

“Jadi kita perlu bersatu hati, beri sokongan kepada mereka agar pasukan Speedy Tigers dapat dibentuk sebagai satu unit yang mantap dan konsisten,” jelasnya.

Terdahulu, harapan Malaysia untuk menamatkan kempen sebagai pasukan kelima terbaik tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Wales dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil,kelmarin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN