Sarah lega ‘hak’ bersuara kini terbuka

Sarah lega ‘hak’ bersuara kini terbuka

NOR SARAH ADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keterbukaan Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mendengar keluhan atlet disambut baik oleh atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi yang bersedia untuk berbuat demikian jika dilanda kemelut membabitkan kariernya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam itu berkata, dia pernah berdepan situasi di mana haknya untuk bersuara dihalang sedangkan komunikasi dua hala itu merupakan satu perkara yang baik.

“Saya sangat bersedia untuk bertemu dengan Datuk Karim, sebab sebelum ini, saya tak diberi peluang untuk menyuarakan pendapat saya.

“Saya tak kisah sama ada pendapat saya ini diterima atau tidak, sebab itu kita kena berbincang, tetapi kalau ruang tersebut tak diberi, sengsara juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sarah, 24, diminta mengulas mengenai kenyataan Karim sebelum ini yang memaklumkan atlet olahraga negara tidak perlu takut dan mengambil sikap berdiam diri jika berdepan sebarang masalah.

Kata Karim, atlet merupakan aset paling berharga kepada MA dan mereka perlu dilindungi sewajarnya.

Menurut Sarah, kesediaan Karim itu merupakan satu perkara yang baik dan sekurang-kurangnya suara atlet didengari serta diambil kira.

Katanya lagi, dia berasa dihargai kerana komunikasi sangat penting supaya sebarang kekurangan dapat diperbaiki demi masa depan olahraga Malaysia.

“Jika diberi perhatian dan ada komunikasi antara atlet dan beliau (Karim), masalah yang berlaku boleh diperbaiki dan ia bukan sekadar mendengar, tetapi, biarlah ia disusuli dengan tindakan.

“Saya yakin, sekiranya beliau merealisasikan perkara ini, sukan olahraga akan lebih maju ke depan,” katanya yang turut mengakui pernah dilanda masalah, tetapi, berjaya diselesaikan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN