PETALING JAYA: Perlawanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2 melibatkan pertembungan PFA Odin Sarawak dan Kuala Lumpur 2 di Arena Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam dicemari insiden panas.
Aksi yang berpihak kepada PFA Odin Sarawak dengan keputusan 4-2 itu pada mula berlangsung dengan baik, namun keadaan menjadi tegang pada akhir babak kedua ketika Kuala Lumpur 2 cuba bangkit.
Pada perlawanan itu, PFA Odin Sarawak mendahului 3-0 menerusi jaringan Nazwan Airil, Asyraff Zakaris dan Burhanudin Othman sebelum Kuala Lumpur 2 merapatkan kedudukan menjadi 3-2 menerusi Haziq Iqmal dan Haikal Warisan.
Bagaimanapun, Nazwan sekali lagi meledak untuk meletakkan PFA Odin Sarawak kembali selesa di hadapan 4-2 dan selepas itu perlawanan menjadi tegang dengan berlakunya beberapa kekasaran yang tidak sepatutnya.
Kemuncaknya, empat minit terakhir perlawanan berlaku insiden pergaduhan melibatkan kedua-dua pasukan termasuk ada pegawai pasukan yang menyerbu masuk ke dalam gelanggang yang menyebabkan perlawanan terhenti seketika.
Keadaan menjadi kecoh sehingga memaksa marshall bertugas masuk ke dalam gelanggang untuk meleraikan kedua-dua pasukan dengan seorang pemain Kuala Lumpur 2 terpaksa diusung keluar gelanggang.
Insiden berkenaan menyebabkan seorang pegawai PFA Odin Sarawak dilayangkan kad merah manakala dua pemain iaitu masing-masing daripada wakil Borneo itu dan Kuala Lumpur 2 turut menerima nasib yang sama.
Pergaduhan itu betul-betul berlaku di hadapan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Hisamudin Yahaya yang turut hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Perlawanan berkenaan disambung semula selepas itu dengan kemenangan berpihak kepada PFA Odin Sarawak dengan keputusan 4-2, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka ditempat kedua carta MPFL Divisyen 2.-UTUSAN