Jun Hao perlu tahu baca ragam lawan

Jun Hao perlu tahu baca ragam lawan

Leong Jun Hao perlu lebih konsisten dalam setiap kejohanan yang disertainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao belum cukup ‘matang’ untuk mengurus ragam lawan berbeza pada tahap tertinggi, biarpun berjaya menewaskan jaguh No. 5 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen menyifatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan gaya permainan lawan sebagai kemahiran penting yang masih perlu diasah oleh pemain berusia 26 tahun itu.

“Menewaskan pemain elit seperti Jonatan amat penting dan dalam masa yang sama, layak ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 750 membuka peluang untuk berdepan seorang lagi pemain kelas dunia seperti Kunlavut Vitidsarn.

“Saya percaya aspek konsistensi masih perlu dipertingkatkan. Keupayaan untuk menyesuaikan sedikit demi sedikit pendekatan terhadap kekuatan dan kelemahan lawan akan membantu perkembangan Jun Hao,” kata Jonassen kepada Utusan Malaysia.

Pemain ranking ke-25 dunia itu menunjukkan aksi bertenaga ketika menumbangkan Jonatan di Terbuka Singapura, tetapi gagal menyesuaikan diri dengan rentak pantas pemain No. 2 dunia dari Thailand, Kunlavut dalam kekalahan straight set di suku akhir.

Dalam masa yang sama, Jonassen turut mendedahkan beliau sebenarnya terkejut dengan pendekatan berani yang dipamerkan Jun Hao dalam pertemuan menentang Jonatan, yang baru sahaja bergelar pemain profesional.

“Saya benar-benar gembira dengan persembahannya dan agak terkejut dengan cara dia mengurus permainan ketika menentang Jonatan.

“Saya suka agresif yang ditampilkan, gaya permainan dan sikapnya di gelanggang dan dalam masa sama, dia juga menunjukkan kesabaran yang diperlukan. Dia mengambil peluang yang ada dengan baik,” katanya.

Suku akhir Terbuka Singapura adalah pencapaian terbaik Jun Hao musim ini, manakala kemaraan ke final Masters Jepun tahun lalu masih kekal sebagai kemuncak kariernya setakat ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN