PETALING JAYA: Kejohanan ragbi tujuh sebelah (7s) antarabangsa Johor 7s 2025 yang memasuki edisi kelapan bakal berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Johor Bahru pada 27 hingga 29 Jun ini.
Sebanyak 36 kelab dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei akan bersaing dalam kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Negeri Johor itu.
Beberapa pemain kebangsaan dari negara-negara terbabit turut akan beraksi, menjadikan pentas kali ini antara kejohanan ragbi 7s berprestij dan kompetitif di rantau ini.
Kejohanan itu juga menjadi medan pemanas badan menjelang Siri Asia 7s serta Sukan SEA Thailand 2025 pada hujung tahun ini.
Pasukan SUKMA dari Johor, Melaka, Terengganu, Pahang dan Sarawak turut mengambil bahagian, sekali gus memberi pendedahan penting buat bakat muda tempatan.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata kejohanan kali ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan.
“Kejohanan edisi kali ini merupakan yang terbesar setakat ini dengan kehadiran pasukan antarabangsa.
“Ia secara tidak langsung meletakkan sukan ragbi sebagai antara sukan utama di negeri Johor dan usaha merakyatkan sukan ragbi di peringkat akar umbi kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif,” kata Noorazam.
Kejohanan ini mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Perbadanan Stadium Johor. – UTUSAN