PETALING JAYA: Pemain warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo mengakui terkejut dengan sokongan luar biasa yang ditunjukkan penyokong Malaysia ketika aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Pemain kacukan Malaysia-Brazil yang melakukan penampilan sulung bersama Harimau Malaya itu berkata, sokongan padu penyokong telah menjadi pemangkin semangat kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk beraksi dengan cemerlang sehingga berjaya menewaskan Vietnam.
“Saya gembira dapat beraksi buat pertama kali untuk Malaysia. Apa yang penting bukan menjadi pemain terbaik perlawanan, tetapi membantu pasukan memenangi perlawanan.
“Kami baru dua minggu bersama dan selepas ini mampu memberikan aksi lebih baik. Ini pengalaman terbaik bermain di Bukit Jalil dan akan saya kenang selamanya.
“Sejak kali pertama saya tiba di sini, saya merasai sambutan hangat daripada penyokong. Hari ini di stadium, seramai 50,000 hingga 60,000 penyokong hadir, dan sokongan itu sangat hebat.
“Kami beraksi untuk penyokong dan mereka memberikan kami motivasi di atas padang untuk menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan, kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, Figueiredo memulakan pesta jaringan skuad negara apabila meledak gol pertama Harimau Malaya pada minit ke-49, sebelum seorang lagi penyerang warisan baharu, Rodrigo Holgado, menggandakan kedudukan 10 minit kemudian.
Corbin Ong terus menjarakkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-67, sebelum Dion Cools menutup perlawanan dengan gol keempat dua minit sebelum tamat.
Dalam pada itu, pemain kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir itu mengakui bahawa perlawanan dan kemenangan tersebut merupakan langkah pertama ke arah lebih banyak kejayaan yang ingin dicapai oleh skuad negara.
“Masih banyak yang kami mahu buktikan dan kami mahu memperbaiki persembahan. Saya sendiri tidak boleh berpuas hati dengan hanya satu perlawanan,” katanya.