DPMM FC mahu cabar JDT, Selangor FC

DPMM FC mahu cabar JDT, Selangor FC

MD. ALI Momin (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mohd. Shazli Shaik Mohd., sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Malaysia di Hotel Thistle, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penyertaan semula kelab bola sepak Brunei, DPMM FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas 17 tahun bukan sekadar pelengkap jadual, sebaliknya mahu memberi saingan dan mencabar penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengurus Besar DPMM FC, Md. Ali Momin berkata, bagi tahun pertama ini, pasukan itu menyasarkan untuk menamatkan saingan dalam kelompok enam pasukan terbaik.

“Sebelum ini, memang kita berhasrat untuk kembali ke Liga M dan alhamdulillah hasrat itu termeterai pada hari ini. Penyertaan kali ini memberi makna bahawa kita akan memberi saingan sengit kepada JDT dan Selangor FC.

“Mungkin bagi tahun pertama ini, kita akan bergelut untuk mendapat rentak semula dan enggan meletakkan sasaran menggunung, sebaliknya berada dalam kelompok enam terbaik,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Super 2026-2028.

Yang turut hadir, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd.

Md. Ali berkata, DPMM FC berhasrat untuk mendapatkan khidmat tujuh pemain import bagi memperkuatkan pasukan untuk mengharungi musim saingan Liga M musim depan.

Katanya, ada beberapa pemain import akan kekal bersama pasukan, antaranya pemain Latvia, Davis Ikaunieks selain berhasrat untuk membawa masuk penjaring terbanyak Liga Perdana Singapura, Tomoyuki Doi dari kelab Geylang International FC.

“Walaupun MFL membenarkan mana-mana pasukan untuk mendapatkan 15 khidmat pemain import, kita mungkin akan guna kuota tujuh pemain sahaja.

“Kesepakatan dengan pihak MFL juga membolehkan pemain Malaysia yang bermain dengan DPMM akan didaftar sebagai pemain tempatan, ini berita baik buat kami untuk mengisi posisi kosong yang diperlukan,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura untuk mendapatkan khidmat Akhyar Rashid, beliau berkata, ia masih di peringkat permulaan dan belum dimuktamadkan lagi.

“Kita mungkin akan cuba mendapatkan dua atau tiga pemain Malaysia serta tujuh pemain import, selebihnya adalah anak jati Brunei,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN