Brazil sambar tiket ke Piala Dunia

Brazil sambar tiket ke Piala Dunia

VINICIUS meledak gol kemenangan ketika Brazil menumpskan Paraguay 1-0 untuk menempah slot ke Piala Dunia 2026-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAO PAULO: Brazil menjadi pasukan kedua dari benua Amerika Selatan yang mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi kelayakan di Stadium Morumbi, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal penyerang Real Madrid, Vinicius Jr. diterima daripada hantaran lintang pemain baharu Manchester United, Matheus Cunha pada minit ke-44 menghadiahkan kemenangan sulung di tempat sendiri buat jurulatih baharu Brazil, Carlo Ancelotti.

“Saya sangat gembira dengan keputusan hari ini. Kami perlu menang di tempat sendiri untuk penyokong kami juga dan layak ke Piala Dunia, yang merupakan matlamat kami.

“Sekarang (Ancelotti) akan mempunyai lebih banyak masa untuk bekerja, untuk melihat apa yang dia boleh perbaiki. Hari ini bukan perlawanan terbaik kami, tetapi perkara penting dalam kelayakan adalah untuk menang dan membuat persiapan yang baik untuk Piala Dunia,” kata Vinicius selepas perlawanan.

Brazil mengekalkan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang layak ke semua edisi Piala Dunia dan akan membuat penampilan ke-23 tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Kemenangan itu meletakkan Brazil di tempat ketiga dalam kedudukan kelayakan zon Amerika Selatan dengan 25 mata daripada 16 perlawanan, sekali gus memastikan kedudukan enam teratas dan layak secara automatik.

Dalam perlawanan lain, Uruguay menewaskan Venezuela 2-0 di Estadio Centenario, sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan dan mendekatkan diri ke Piala Dunia.

Rodrigo Aguirre membuka jaringan pada minit ke-42 apabila menanduk masuk sepakan sudut Maxi Araujo di tiang jauh, manakala Giorgian De Arrascaeta menggandakan pendahuluan Uruguay dua minit selepas rehat dengan rembatan padu ke penjuru kiri atas.

Sementara itu, Argentina bekerja keras untuk bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan minit ke-81 oleh Thiago Almada selepas Colombia mendahului hasil jaringan Luis Diaz, manakala di La Paz, harapan Chile musnah selepas tewas 0-2 kepada Bolivia sehingga mendorong jurulatih, Ricardo Gareca meletakkan jawatan. — AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN