Atlet jangan duduk dalam ketakutan

Atlet jangan duduk dalam ketakutan

KARIM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet Olahraga Malaysia (MA) tidak perlu takut dan mengambil sikap berdiam diri jika berdepan sebarang masalah.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, atlet merupakan aset paling berharga kepada MA dan mereka perlu dilindungi sewajarnya.

“Bagi atlet-atlet ini saya nak maklum, jangan duduk dalam ketakutan. Saya akan pertahankan atlet, mereka amat bernilai kepada Olahraga Malaysia,” katanya.

Karim yang kembali mengambil alih pucuk kepimpinan MA selepas menang pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), minggu lalu, amat berharap hubungannya dengan atlet akan menjadi lebih rapat.

Permintaan beliau boleh difahami kerana sukan olahraga tidak pernah sunyi dengan pelbagai isu membabitkan rasa kurang puas hati dalam kalangan atlet.

Terbaharu ialah isu melibatkan kemelut barisan pelari pecut dengan Pengarah Teknikal MA, Robert Ballard yang berlaku pada Mac lalu.

Karim memberi jaminan bahawa masa depan atlet menjadi keutamaannya dan beliau mahu mereka mendapat pendedahan sewajarnya di pentas antarabangsa.

Ditanya pula mengenai kontrak Ballard, kata Karim, beliau perlu meneliti semula kontrak tersebut dan pertemuan akan dilaksanakan sebaik Ballard kembali daripada cuti sakit.

“Saya akan jumpa dia dalam masa terdekat dan tengok macam mana kedudukannya nanti. Tentang rombakan juga saya belum tahu lagi kerana saya baru ambil alih dan apa-apa sahaja keputusan yang sudah dibuat dalam mesyuarat, kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.

Karim turut mengakui beliau akan mengadakan pertemuan dengan atlet dan juga jurulatih bagi memastikan program sukan olahraga berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Kita juga tidak mahu melihat mana-mana atlet yang tidak memiliki jurulatih seperti yang berlaku sejak kebelakangan ini,” tegasnya.

Mengulas mengenai sasaran pingat Sukan SEA di Thailand, hujung tahun ini, beliau berkata, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sasaran pingat pada temasya tersebut kerana ia bukanlah satu keputusan mudah.

“Saya sendiri akan duduk berbincang dengan Datuk Seri Shahidan Kassim kerana beliau telah berjanji untuk membantu saya buat sementara waktu termasuk bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN