SEPANG: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum cemerlang mereka apabila muncul juara Terbuka Singapura, sebentar tadi.
Mereka bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam masa 65 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kemenangan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$74,000 (RM314,980) daripada kejohanan bertaraf Super 750 Jelajah Dunia BWF itu.
Ianya merupakan final keempat berturut-turut buat pasangan ranking ketiga dunia itu selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan finalis Malaysia Masters.
Difahamkan, kedua-dua pemain berada dalam keadaan keletihan selepas melalui empat minggu kejohanan berturut-turut di tiga buah negara.
Mereka dijadualkan membuka tirai kempen Terbuka Indonesia Super 1,000 menentang Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark yang bermula pada Selasa ini.
Untuk rekod, ini merupakan kemenangan pertama Aaron-Wooi Yik ke atas gandingan Korea itu selepas tewas pada pertemuan sulung mereka di Terbuka India 2025, awal tahun ini. – UTUSAN