TM rakan rasmi pasukan sepak takraw negara

TM rakan rasmi pasukan sepak takraw negara

DATUK Sumali Reduan(kiri) bersama Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali(kanan) dan Tan Sri Norza Zakaria(tengah) menjalin kerjasama selama dua tahun yang dimeterai melalui satu majlis pertukaran dokumen di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) kini secara rasmi bergelar rakan rasmi pasukan sepak takraw negara menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), sekali gus memperkukuh komitmen syarikat telekomunikasi itu dalam pembangunan sukan tanah air.

Kerjasama selama dua tahun yang dimeterai melalui satu majlis pertukaran dokumen di Hotel Seri Pacific, disempurnakan oleh Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali.

Melalui jalinan tersebut, TM bakal menyokong sepenuhnya penyertaan Pasukan Sepak Takraw Negara dalam kejohanan utama termasuk Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok serta Piala Dunia ISTAF 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini mencerminkan iltizam berterusan TM dalam menyokong arena sukan tempatan dan pembangunan bakat baharu negara.

“Sepak takraw merupakan sukan yang berkait rapat dengan warisan budaya kita, dan kami berbangga dapat menyumbang kepada perkembangan sukan ini di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, usaha itu selaras dengan aspirasi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030, yang turut merangkumi sumbangan kepada masyarakat secara inklusif menerusi platform penyatuan seperti sukan.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha pembinaan negara kami untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dan memperkukuh identiti nasional,” katanya.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menzahirkan penghargaan atas sokongan TM yang disifatkan hadir pada masa yang tepat bagi memperkasakan lagi kedudukan Malaysia dalam sukan sepak takraw.

“Kami berbesar hati menerima TM sebagai rakan rasmi kami. Dengan penglibatan mereka, kami yakin dapat mencatatkan prestasi cemerlang dalam kejohanan akan datang dan melahirkan juara-juara baharu,” katanya.

Dalam usaha mempromosi serta memperluas capaian sukan rakyat itu, TM turut akan menyiarkan secara langsung aksi Piala Asia 2025 menerusi saluran Unifi Sports Channel 701 di Unifi TV, yang boleh diakses oleh semua pelanggan Unifi TV Pack.

Sepak takraw kini kembali mencuri tumpuan dalam kalangan generasi muda, khususnya di rantau ASEAN, hasil warisan kukuh serta daya tarikannya yang tersendiri, sekali gus menjadikan kerjasama ini sebagai langkah tepat dalam memperkasa sukan tradisional negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN