PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memiliki misi peribadi iaitu mahu mengubah sejarah rekod pertemuan antara Malaysia dan Vietnam menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan.
Tempoh 11 tahun tanpa rekod kemenangan ke atas Vietnam sejak kali terakhir melakukannya pada Piala AFF 2014, menjadi motivasi buat Cklamovski menamatkan kemarau itu.
Begitupun, jurulatih kelahiran Australia itu berdepan cabaran untuk mempersiapkan pasukan kerana pemain berada dalam ‘mood’ berehat susulan saingan Liga Malaysia (Liga M) telah berakhir bulan lalu.
Cklamovski berkata, beliau perlu mempersiapkan pasukan dalam situasi yang unik kerana saingan liga berakhir dan pemain menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya tanpa bermain sebarang perlawanan.
“Kita perlu buat persiapan rapi dalam situasi unik, di mana pemain datang dari musim rehat tanpa perlawanan sebelum masuk ke kem latihan.
“Kita sudah lama tidak menang dengan Vietnam. Itu (rekod tanpa menang) memberi kita motivasi untuk mengejar kejayaan, ia beri semangat untuk kita mengubah sejarah tapi kita kena terima realiti dan perlu rendah diri serta sedar dari mana kita bermula.
“Ya kita boleh kalahkan mereka dan kita mesti cuba tapi dalam 16 perlawanan terakhir kita hanya menang dua kali jadi memang ada sejarah yang perlu kita ubah kali ini,” kata Cklamovski.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam ialah pada separuh akhir Piala AFF 2014, dengan kemenangan 4-2 di Stadium My Dinh pada 11 Disember 2014.
Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Harimau Malaya berada di kedudukan ke-131 manakala skuad Naga Emas diranking 109 dunia.
Cklamovski tiada pilihan jika mahu Malaysia layak ke Piala Asia 2027, selain menang ke atas Vietnam dan menjadi juara Kumpulan F kelayakan berkenaan.
Tegas beliau, tiada istilah badi dalam kamus hidupnya kerana perkara yang berlalu adalah sejarah lalu yang tidak ada kaitan dengan dirinya.
“Bagi saya bukan badi kerana itu semua sejarah lama. Kita sudah tidak menewaskan Vietnam selama lebih satu dekad.
“Hormati sejarah tetapi jangan terlalu terikat dengannya. Pasukan badi bukan untuk saya. Asas utama kami ialah untuk membanggakan seluruh rakyat Malaysia dan kalau kita berjaya kalahkan juara Asia Tenggara sebab Vietnam menang Piala ASEAN pada Disember lalu, ia akan jadi satu kebanggaan tambahan buat kami,” ujarnya.
Sementara itu, berkenaan pemain warisan baharu terus menjadi rahsia dan difahamkan perkara itu hanya akan diumumkan pada kem latihan skuad Harimau Malaya akan datang.-UTUSAN