KUALA LUMPUR: Skuad kuadran negara meneruskan aksi cemerlang apabila mudah membenam cabaran Jepun 2-0 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw (ASTAF) 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia yang dibarisi Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Fetri Mohd Azwawi tidak berdepan masalah untuk mengekalkan momentum kemenangan yang diraih sebelum ini, sekali gus muncul juara kumpulan.
Anak buah Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif dilihat bergelut dengan asakan regu Jepun pada set pertama namun berjaya bangkit dengan keputusan 17-15
Memasuki set kedua, kemasukan Muhammad Afifuddin Mohd Razali menggantikan Fetri nyata memberi impak kepada skuad negara apabila berjaya membantu memberi asakan sebelum menutup set kedua dengan kemenangan bergaya 15-10.
Sebelum ini, Malaysia membuka kempen Kumpulan B dengan langkah kanan apabila menewaskan China 2-0 dan Filipina dalam aksi sengit dengan keputusan 2-1.
Kemenangan ke atas Jepun itu memastikan Malaysia muncul juara Kumpulan B, manakala Jepun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selaku naib juara kumpulan.
Malaysia bakal berdepan cabaran lebih getir di separuh akhir apabila dijadual bertemu naib juara Kumpulan A sama ada Vietnam atau Korea Selatan yang bakal melengkapkan aksi terakhir kumpulan malam ini.-UTUSAN