JOHOR BAHRU: Empat tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak setuju dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran sewaktu aktivis, Arun Dorasamy dituduh di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, semalam.
Menurut kenyataan bersama Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman serta Syerleena Abdul Rashid, mereka mendakwa tindakan tersebut telah menimbulkan polemik kepada perundangan negara.
Katanya, tindakan Kulasegaran yang juga bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP adalah tindakan individu dan tidak menggambarkan pendirian DAP berhubung kes berkenaan.
“Kami terpanggil menyatakan sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran Kulasegaran berjumpa dengan Arun Doraisamy sewaktu beliau didakwa di mahkamah, lebih-lebih lagi beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang Timbalan Menteri Kerajaan Madani.
“DAP harus ambil pendekatan tengah iaitu mempertahan prinsip keadilan dan innocent until proven guilty (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah) serta keabsahan proses undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Kulasegaran dilihat mengiringi Arun yang dihadapkan ke mahkamah bagi bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Menurut mereka, sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau berpihak haruslah dielakkan.
“Kami menghormati Kulasegaran sebagai seorang veteran parti. Namun, kami terpanggil untuk menyatakan bahawa kami sama sekali tidak bersetuju dengan tindakannya,” katanya. – UTUSAN










