KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak menyembunyikan rasa kecewanya apabila skuad badminton negara gagal melepasi halangan suku akhir Piala Sudirman 2025.
Menurut beliau, kegagalan itu berpunca daripada kurangnya semangat juang dalam kalangan pemain sehingga menjejaskan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut.
“Tentu sahaja mengecewakan kerana saya fikir kalau dari segi kedudukan pemain-pemain, kita memang layak untuk menjadi empat terbaik (separuh akhir) tetapi sekali lagi kita tidak dapat capai matlamat itu.
“Antara perkara yang perlu dilihat, sama ada pemain-pemain kita mahukan kejuaraan ataupun tidak dan adakah sanggup berjuang bermati-matian untuk capai apa yang diinginkan seperti pemain-pemain negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia bagi Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Malaysia sebelum ini tersingkir di tangan juara bertahan, China selepas tunduk 0-3 dalam aksi suku akhir yang berlangsung Jumaat lalu.
Mohamad Norza yang juga bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, skuad negara sebenarnya memiliki barisan pemain yang berkeupayaan tetapi kekurangan dari segi roh perjuangan dan semangat patriotik.
“Di samping kita ada kemahiran teknikal, kita juga memerlukan semangat patriotik yang tinggi. Bagi saya, itu yang membezakan kita dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Jepun, China dan Korea Selatan,” ujarnya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan berpasukan campuran itu ialah mara ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021 dan 2023.-UTUSAN