PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara mahu memastikan kesilapan di Piala Dunia Sepak Takraw di Bihar, India tidak berulang dalam saingan Piala Asia 2025 yang bermula pada 10 hingga 18 Mei ini.
Pemain beregu negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin berkata, banyak pengajaran diperoleh ketika di Bihar apabila Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan dalam acara beregu apabila kandas di separuh akhir.
Bagaimanapun katanya, kekalahan itu bukan satu noktah, sebaliknya dijadikan iktibar buat dirinya serta rakan sepasukan untuk memperkemaskan segala kelemahan menjelang Piala Asia.
“Untuk Piala Asia kali ini, kami sudah bersedia sepenuhnya. Kesilapan kecil ketika di Bihar telah diperhalusi satu per satu, terutamanya dalam perlawanan pertama yang sangat penting.
“Saya ambil kegagalan itu sebagai semangat untuk bangkit. Kali ini kami akan tampilkan persembahan terbaik demi penyokong Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Noraizat yang bergandingan dengan Aidil Aiman Azwawi sebelum ini pernah mencuri tumpuan apabila menyumbangkan pingat emas kepada negara pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Mengulas peluang di Piala Asia, Noraizat optimis Malaysia mampu menghadirkan kejayaan dengan persiapan yang cukup rapi oleh barisan kejurulatihan dan pemain.
“Setiap pemain kini tahu apa yang diimpikan. Kami berlatih bersungguh-sungguh demi memastikan sasaran itu tercapai.
“Insya-Allah, saya dan rakan-rakan akan berjuang habis-habisan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” ujarnya.
Piala Asia 2025 bakal membuka tirai di Stadium Titiwangsa yang menyaksikan penyertaan dari beberapa negara kuasa besar dalam Sepak Takraw.-UTUSAN