KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan masalah membenam Nepal 2-0 dalam aksi pembukaan acara regu Kumpulan D pada Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025, sebentar tadi.
Malaysia yang menurunkan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) menang mudah 15-6 pada set pertama.
Pada set kedua, Malaysia menukar percaturan dengan memasukkan Syahir Rosdi bagi menggantikan Haziq manakala perejam muda, Khairul Aman Rosdi menggantikan Azlan.

Kemasukan kedua-dua pemain itu menambah sengat regu Malaysia apabila Khairul Aman membuktikan beliau bersedia sepenuhnya beraksi untuk skuad negara apabila menoktahkan kemenangan 15-6.
Malaysia bakal menentang negara jiran, Singapura dalam aksi kedua Kumpulan D pada pukul 8.00 malam ini.- UTUSAN