KUALA LUMPUR: Malaysia muncul juara regu Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 selepas membenam Thailand 2-0 di pentas final di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Kejayaan trio negara, Azlan Alias (apit kanan), Syahir Rosdi (tekong) dan Farhan Adam selaku apit kiri itu mengulangi kejayaan mereka menumpaskan Thailand pada Piala Dunia 2024.
Dalam aksi yang disaksikan kira-kira 3,000 penonton itu, skuad negara menang set pertama 15-12 dengan Syahir membuktikan status tekong terbaik dunia dengan servis tajam.
Regu Thailand, Sittipong Kamchan (tekong), Varayut Jantarasena (apit kanan) dan Yodsawat Uthaijaronsri (apit kiri) cuba bangkit pada set kedua, namun dihalang trio negara.
Ketika ketinggalan jauh, Thailand memasukkan Jakrit Thingbangbon dan Sutthikiart Pansenakeaw bagi menggantikan Sittipong dan Varayut bagi mengejar kedudukan.
Bagaimanapun, Syahir sekali lagi membuktikan kewibawaannya dengan servis terbaik selain Azlan dan Farhan juga bijak memainkan peranan mengawal gelanggang untuk Malaysia menang 15-9 pada set kedua.
Kemenangan tersebut mengekalkan status Malaysia selaku regu terbaik dunia ketika ini dan misi skuad negara akan diteruskan lagi esok dalam acara regu berpasukan.-UTUSAN