PETALING JAYA: Dua tonggak import Selangor FC, Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh kekal bersama skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Sri Shahril Mokhtar yang menjelaskan bahawa kedua-dua pemain itu masih berada dalam perancangan kelab untuk musim baharu, selain turut mengekalkan khidmat pertahanan dari Jordan, Mohammad Abualnadi.
“Buat masa ini, yang sah kekal adalah Fortes dan Al-Rawabdeh. Al-Rawabdeh masih mempunyai baki satu musim dalam kontraknya.
“Seorang lagi ialah Abualnadi pemain dari Jordan,” katanya.
Fortes, pemain sayap lincah kelahiran Belanda itu, menyerlah dalam musim sulungnya bersama Gergasi Merah apabila meledak 17 gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam 35 penampilan keseluruhan.
Namun, nasib tidak menyebelahi Al-Rawabdeh apabila pemain tengah kelahiran Jordan itu terpaksa diketepikan susulan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada Oktober lalu.
Beberapa pemain Selangor FC seperti Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee, Safuwan Baharudin dan Yohandry Orozco mungkin akan berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.-UTUSAN
KAPSYEN: FORTES kekal bersama Selangor FC untuk saingan Liga Malaysia musim depan.